
1. Berniat
serta berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak
mungkin mampu untuk menjadi suami yang cemerlang. Kebanyakkan suami terlupa
tentang perkara ini.
2. Bersyukur
kerana telah mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah
pasangan hidup terbaik yang telah Tuhan tentukan. KetentuanNya merupakan yang
terbaik.
3. Suami
mithali jadi kebanggaan isteri. Jadikan diri anda membentuk sikap positif serta
istimewa. Cuba Tanya kepada diri sendiri apakah sifat atau amalan yang boleh jadi
kebanggaan isteri anda.
4. Suami
mithali akan sentiasa menyimpan rahsia isteri. Terdapat suami dengan secara
sengaja ataupun tidak telah menceritakan akan keburukan isteri kepada orang
lain. Ini mesti dihentikan.
5. Pulang
setiap hari dengan senyuman dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri
dan anak-anak akan pasti merasa bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah
apabila tiba di rumah.
6. Pastikan
anda punya masa untuk berbicara dengan isteri setiap hari. Semua isteri akan
merasa bahagia apabila dapat berbual bersama suami. Berapa ketikakah yang anda
luangkan untuk berbual dengan isteri setiap hari?
7. Sentiasa
hubungi isteri melalui telefon ataupun menghantar SMS sekadar untuk menyatakan
bahawa anda sayangkan atau merindui isteri anda. Isteri anda pasti akan berasa
seronok dan bahagia apabila menerima panggilan ataupun mesej tersebut.
8. Hiburkan
hati isteri anda seperti bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap
gurauan mampu untuk mengubati hati isteri dan akan mengeratkan lagi hubungan
suami isteri.
9. Jadikan
amalan untuk makan bersama setiap hari. Nasihat menasihati dan berbual mesra ketika
makan. Amalan ini mampu untuk menarik hidayat Tuhan dan menguatkan lagi hubungan
suami isteri. Elakan dari berbual perkara yang melalaikan ketika makan.
10. Sekali-sekala
ajak isteri mandi bersama. Mandi bersama sambil bergurau senda adalah sunnah
yang dapat mengeratkan lagi hubungan suami isteri.
11. Hulurkan
tangan membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah. Ini adalah sunnah yang
mampu meringankan beban isteri, mengeratkan lagi kasih sayang serta membahagiakan
pasangan anda.
12. Suami
wajar belajar menjadi pengikut setia. Patuhi pandangan dan cadangan isteri yang
betul. Elakkan membangkang perkara yang baik. Kawal macho dengan hikmah.
13. Pastikan
penampilan diri anda sihat, ceria, anggun, kemas, bersih serta wangi. Ramai suami
ingin isteri yang mengancam, tetapi mereka telah abaikan penampilan diri mereka
sendiri. Tidak adil kan?
14. Mendidik
isteri dengan memberikan nasihat dan peringatan secara hikmah. Jadikan amalan dan
tindakan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakkan cakap tak serupa
bikin.
15. Beri
nafkah kepada isteri berdasarkan keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai
suami yang mengabaikan nafkah disebabkan isteri bekerja. Terdapat juga suami
yang kedekut dan berkira. Ini akan menyebabkan isteri menderita dan rumahtangga
terancam.
16. Jadi
penawar hati kepada isteri. Ambil berat akan kemahuan dan keperluannya serta
peka kepada situasi dan emosi isteri. Isteri yang bahagia mampu membentuk
keluarga yang sejahtera
17. Sentiasa
taat kepada semua perintah Tuhan dan pastikan juga keluarga patuh kepada semua
perintah Tuhan.
18. Pastikan
anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan pada ketika dalam
perjalanan pergi atau pulang dari tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Kebanyakkan
suami membazir masa dengan mendiamkan diri ketika berada dalam kenderaan.
19. Mesyuarat
keluarga sekerap yang mungkin dijadikan amalan. Amalan mesyuarat keluarga dapat
menarik hidayat Tuhan, mampu mengeratkan lagi hubungan dan menyelesaikan banyak
masalah.
20. Muliakan
keluarga isteri seperti memuliakan keluarga sendiri. Terdapat juga suami yang
membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada pula segelintir suami
yang memusuhi keluarga isteri.
21. Bentuk
sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang
tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat
cemburu. Dia rasa dihargai.
22. Jadikan
diri anda suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Sentiasalah
maafkan isteri pada setiap malam sebelum tidur agar rumahtangga bertambah
bahagia dan isteri mudah masuk syurga.
23. Menegur
kesilapan isteri dengan berhemah dan hikmah serta kasih sayang. Isteri merajuk
bukan kerana ditegur, tetapi cara teguran yang kasar. Apabila suami kasar,
isteriakan jadi takut, hiba, bingung dan
memberontak.
24. Jadikan
Nabi Muhammad SAW sebagai model. Hidupkan amalan sunnah di dalam rumahtangga. Sentiasa
sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.
25. Dahulukan
keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib suami dalam memberi
khidmat. Terdapat juga suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya.
Elakkan kesilapan ini.
26. Perintah
isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, hubungi melalui telefon
ataupun SMS bagi mengingatkan sembahyang serta wasiatkan isteri untuk
sembahyang fardu dan sunat. Sentiasa buat pesanan ini sehingga suami meninggal
dunia.
27. Cintai
isteri dengan sepenuh hati. Cintai isteri tanpa syarat, bertambah cinta mengikut
usia, penuh kemaafan, memberi tenaga, tidak pernah sengsara serta berteraskan
iman dan takwa.
28. Sentiasa
berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu.
Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang,
isteri akan gemilang.
29. Tunjukkan
keprihatian yang tinggi terhadap keluarga. Terdapat juga suami tidak mengambil
kisah hal keluarga mereka. Cuba tanya apa lagi keperluan tambahan yang patut
berikan kepada keluarga.
30. Tunjukkan
kematangan yang tinggi. Orang yang matang akan tenang, sabar, bijaksana, waras,
dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.
31. Seimbangkan
hidup dengan sempurna. Rajin di tempat kerja maka rajin juga di rumah. Peramah
dengan kawan maka peramah juga dengan isteri. Berdisiplin di pejabat maka berdisiplin
juga di rumah. Sabar dengan orang maka bersabar juga dengan isteri. Serupa di
luar dan di dalam rumah.
32. Muliakan
semua perempuan bukan sekadar isterinya. Terdapat juga lelaki cuba hormat
wanita tertentu sahaja. Isteri akan kecewa terhadap suami yang menghina atau
tidak hormat mana-mana wanita termasuklah pembantu rumah.
33. Bentuk
beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi Muhammad SAW amat pemaaf,
pemalu, peka, endah serta mudah menangis. Sifat wanita yang terdapat pada
lelaki mampu untuk menaikkan martabat lelaki dan akan lebih disayangi oleh
isteri.
34. Punya
kemahiran dalam menguruskan keluarga. Peka dengan karenah dan masalah ahli
keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian dan
memilih penyelesaian yang optimum.
35. Baiki
diri secara berterusan. meningkatkan iman dan takwa, cuci hati dengan
sembahyang sunat taubat, beristighfar, memaafkan dan minta maaf, bersahabat
dengan orang yang baik, pendapatan yang berkat dan baiki amalan serta tindakan.
36. Menjadi
model atau contoh yang terbaik untuk keluarga. Doa dan sentiasa berusaha supaya
setiap perbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan oleh ahli keluarga.
37. Menjadi
motivator dan pendorong yang berkesan untuk keluarga. Sentiasa memberikan
galakan dan belaian. Elakkan mengkritik, memarahi ataupun menghina keluarga.
Berfikiran positif dan sentiasa bersangka baik terhadap keluarga.
38. Tambah
dan tingkatkan ilmu berkaitan agama. Biasanya, suamilah yang mendidik keluarga
berkaitan agama. Timbalah ilmu agama dengan niat mendidik diri dan keluarga.
39. Sentiasa
tegakkan kebenaran. Tegas dalam menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik.
Elakkan untuk mengenepikan kebenaran disebabkan ingin menjaga hati ahli
keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah.
40. Bertindak
tegas dan lemah lembut mengikut situasi. Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan.
Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Terlalu tegas akan menyebabkan
orang memberontak, lembut sangat anda akan dipijak orang.
41. Melatih
diri untuk menghargai dan memuji isteri. Terdapat suami yang hanya pandai mengkritik
tetapi tidak pandai memuji. Belaian mampu untuk merawat emosi dan fizikal
isteri serta membuatkan isteri terasa disayangi. Carilah peluang untuk sentiasa
memuji.
42. Mencari
peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Termasuklah senyuman, bersikap
lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan
sayang, pujian dan memberi hadiah.
43. Fahami
bahawa isteri ingin selalu di sisi suami. Apabila berjauhansekali-sekala, hubungi
isteri melalui telefon, SMS ataupun e-mel untuk bertanya khabar, berikan
maklumat untuk mengubat rindu.
44. Bentuk
kerjasama yang mantap bersama isteri. Tunjukkan kesatuan hati dan pendapat
kepada anak-anak dan orang lain. Wujudkan kerjasama melalui mesyuarat, berbual,
tolak ansur, bermaaf-maafan dan banyakkan berdoa.
45. Nilaikan
diri anda daripada kaca mata isteri. Buang sifat, sikap dan amalan yang isteri tidak
suka. Sentiasa berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila
isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia.
46. Jika
suami melayan isteri seperti mana dia melayan kawan, pasti isteri akan bahagia.
Imbas kembali cara anda melayan isteri sebelum berkahwin. Ulangi layanan itu
sekarang. Pasti hebat kesannya.
47. Wujudkan
undang-undang dalam rumahtangga. Apabila suami sedang marah, isteri mesti
senyap. Apabila isteri sedang marah, suami mesti senyap. Ini dapat mengelakkan berlakunya
pertengkaran. Orang tidak boleh bertengkar sendirian.
48. Latih
gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri. Serasikan gerak batin
dengan berdoa, patuhi perintah Tuhan, sentiasa maafkan isteri, bersangka baik
dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati.
49. Pimpinlah
isteri dengan kasih sayang dan nasihat. Selalu berpesan dan nasihat
sekali-sekala. Waktu paling baik member nasihat adalah semasa rehat, waktu minum
petang, waktu bersiar-siar dan pada ketika hendak tidur.
50. Uruskan
stress dengan sempurna supaya keluarga tidak terjejas, lakukan riaadah,
berdiet, hentikan merokok,bercampur dengan orang positif, bermain dengan bayi,
tengok ikan di akuarium, menyanyi, sembahyang sunat taubat dan maafkan semua
orang.
Sumber oleh Dr Fadzilah Kamsah





Tiada ulasan:
Catat Ulasan